Pengikut

Selasa, 28 Jun 2011

Majlis Penghargaan Pak Awi Ringkas Tapi Menyentuh Perasaan

Selasa, 28 Jun 2011

Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) kehilangan seorang tokoh ikhtiar hidup yang dianggap lagenda dalam kelasnya tersendiri pada tanggal 27 Jun 2010 apabila Awi Mabot, 62, terkorban dalam nahas jalan raya di Batu 13 Jalan Mersing-Kluang berdekatan Kem Khidmat Negara Padang Hijau, Kluang.

Bagi mengenang jasa dan pengorbanan Awi Mabot atau mesra dengan panggilan Pak Awi, satu Majlis Penghargaan dan Penyampaian Faedah Kematian Takaful Ikhlas kepada anggota keluarganya telah diadakan di kawasan Muara, Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Insan YPJ (PKPI), Sekakap, Mersing pada 24 Jun lalu.

Cek Faedah Kematian Takaful Ikhlas sebanyak RM45,979 itu telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abdul `Alim Abd Shukor kepada balu mendiang Pak Awi, Seri Binti Tengki yang datang bersama beberapa anggota keluarganya.

Turut menyaksikan upcara tersebut Timbalan Pengurus Besar Akademik dan Pengantarabangsaan KPYPJ, Abdul Razak Mohd Saad dan Timbalan Pengurus Besar Pembangunan Bisnes KPYPJ, Sa’dullah Mohidin.

Majlis tersebut diadakan di kawasan muara PKPI yang indah diapit Laut China Selatan dan Sungai Jamaluang serta banyak meninggalkan kenangan dan nostalgia manis bagi Pak Awi sepanjang 36 tahun berkhidmat di PKPI. Di situlah mendiang kerap memberi ceramah dan tunjuk ajar kepada para pelatih PKPI baik bagi tujuan ikhtiar hidup, aktiviti merentas hutan dan paya mahupun disiplin air seperti kanu.

Pada Majlis itu juga Timbalan Pengarah PKPI, Mohd Nordin Salleh dalam ucapannya mencadangkan agar kawasan Muara PKPI itu dinamakan sebagai Muara Awi Mabot sebagai penghargaan kepada jasa dan pengorbanan besar mendiang kepada pembangunan PKPI selama ini.

Beliau yang sebak ketika menyampaikan ucapan turut mencadangkan agar suatu papan tanda khas mengenai Pak Awi dan pengorbanannya dibina di perkarangan PKPI untuk makluman dan pengetahuan pengunjung pusat latihan itu.






0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails